baca artikel di sini
Tugas mereka 'bermain' dengan nyawa. Sekiranya berlaku kecuaian di
pihak pegawai kawalan trafik udara maka beratus-ratus nyawa akan
melayang begitu sahaja.
Walaupun ramai yang menjangkakan tugasnya seperti polis trafik yang
menjaga lalu lintas di jalan raya namun di udara tiada lampu trafik yang
boleh membenarkan sesuatu pesawat berhenti sekiranya terdapat pesawat
yang menuju ke arahnya.
Oleh kerana tanggungjawab besar yang harus digalas, hanya individu
yang komited, berani, teliti dan membuat keputusan cepat sahaja yang
boleh mengharungi kerjaya ini.
Pengarah Pusat Kawalan Trafik Udara FIR Kuala Lumpur,
Balasubramaniam Muttaya
berkata, seseorang yang ingin menjadi pegawai kawalan trafik udara
harus menjalani tiga kali ujian yang dijalankan oleh Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Penerbangan Awam.
Ujian tersebut ialah IQ dan matematik, ujian suara dan temuduga di
mana jika lulus barulah boleh memasuki Kolej Penerbangan Awam, Subang
untuk menjalani kursus hampir tiga tahun.
Semasa di kolej, pelatih harus menamatkan pengajian dengan jayanya dalam bidang
aerodrome control dan memperoleh
Aerodrome Control Rating, Approach Control (Approach Control Rating) dan
Area Control (Area Control Rating).
Setelah tamat pengajian, pelatih perlu menjalani latihan amali di
beberapa lapangan terbang selama tiga bulan, kemudian barulah
ditempatkan di sektor penerbangan bagi mengendalikan tugas-tugas sebenar
di menara kawalan atau bilik radar.
"Cabarannya cukup banyak kerana setiap sektor mempunyai tanggungjawab
yang berlainan kerana perjalanan pesawat bukan mengikut paten yang sama
begitu juga jenis pesawat yang sama tidak mendarat setiap hari.
"Satu lagi kewajipan bagi seorang pegawai kawalan trafik udara ialah
mempunyai lesen yang membolehkannya bekerja di sesuatu posisi.
"Setiap seorang petugas perlu mempunyai lima lesen dalam tempoh yang ditetapkan. Lesen yang perlu dimiliki ialah dalam sektor
aerodrome, approach control, area procedural, area radar dan
approach radar.
"Bagi mendapat sesuatu lesen, seseorang pegawai itu juga harus lulus
pemeriksaan perubatan. Bagi yang berumur 40 tahun ke bawah harus
menjalani pemeriksaan dua tahun sekali manakala 40 tahun ke atas,
setahun sekali. Jika berlaku kehilangan lesen itu, maka petugas tidak
boleh bertugas,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Balasubramaniam, kefasihan berbahasa Inggeris adalah
diwajibkan kepada semua petugas kerana pegawai berinteraksi dengan
juruterbang dan pusat kawalan asing.
Sekiranya keputusan peperiksaan mereka berada di tahap enam, maka
tidak perlu mengambil peperiksaan itu seumur hidup, jika tahap lima,
maka petugas perlu mengambil enam tahun sekali dan tahap empat, tiga
tahun sekali manakala jika mendapat tahap 1, 2 dan 3 iaitu tidak lulus
maka pegawai itu tidak dibenarkan mengendali tugas, tidak diberi lesen,
tidak menunjukkan prestasi dan tidak akan ada elaun insentif.
"Justeru itu, mereka perlu menjalani peperiksaan semula bagi mendapatkan hak yang telah digantung atau ditarik balik
"Jadual kerja juga unik iaitu dua hari bekerja dengan dua hari cuti.
Syifnya dari 1 petang hingga 7 malam, kemudian 7 pagi hingga 1 petang
dan disambung ke 7 petang hingga 7 pagi. Inilah cabarannya yang bekerja
24 jam.
"Mereka turut dibenarkan berehat selama 30 minit hingga 45 minit. Penggunaan telefon bimbit tidak digalakkan dan harus dalam
mood
senyap kerana bakal mengganggu frekuensi,'' jelasnya yang telah
berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kawalan trafik udara ini.
Menurutnya, risiko semasa menjalankan tugasan ini cukup banyak, jika
berlaku kecuaian, maka kemalangan boleh berlaku. Namun begitu bukan
semua kemalangan disebabkan oleh arahan pegawai kawalan trafik udara,
ada juga disebabkan oleh kecuaian juruterbang, peralatan dan prosedur
tidak diikuti.
"Oleh itu, bagi pegawai kawalan trafik udara sama ada wanita atau
lelaki, ketelitian, kecekapan dan kepantasan dalam membuat keputusan
amat dititikberatkan demi memastikan pesawat berada dalam keadaan
selamat sama ada mendarat atau berlepas,'' katanya yang mengalu-alukan
lebih ramai wanita menceburi bidang ini. -
SADATUL MAHIRAN ROSLI